SELAMAT DATANG,AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM...TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG WILAYAH SELATAN,MOGA SEGALA MAKLUMAT DAN MAKLUMAN YANG ADA INI SERBA SEDIKIT DAPAT MEMBANTU ANDA SECARA TIDAK LANGSUNG...SELAMAT MELAYARI...

Sunday, December 13, 2009

Ketuanan Melayu Hanya Tinggal Nama

Masih adakah ketuanan Melayu?

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Ingatan demi ingatan telah saya ajukan akan bahayanya golongan ultra kiasu, tetapi kita terus memberi muka. Sedangkan mereka tidak pernah serik dan mengambil pengajaran. Sejak dahulu lagi ultra kiasu ini membangkitkan isu-isu sensitif dan menentang apa juga perkara yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam di bumi Melayu ini walaupun hak-hak ini dijamin dalam perlembagaan. Pada mereka, semua rakyat Malaysia mesti berpegang kepada formula sama rata dan sama rasa atau fair and square atau Malaysian Malaysia. Mereka tidak mahu langsung melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan Melayu Islam seperti mahukan bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, negara Islam kepada negara sekular, ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat dan sebagainya.

Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara 'tuan' dengan 'hamba' sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, masakan penguasaan ekonomi bukan Melayu begitu jauh meninggalkan orang Melayu Islam. Lihat sahaja senarai 10 jutawan terkaya di negara ini. Siapakah mereka? Jika ada ketuanan Melayu sudah pasti akan ada beberapa muka-muka Melayu. Jika orang Melayu itu tuan, sudah tentu mereka akan menyekat 'hamba-hamba' ini untuk berjaya, tetapi adakah ia sebenarnya berlaku? Inilah bahaya bila ada sifat kiasu yang terlalu ultra? Kini mereka begitu berani mempertikaikan peruntukan atau dana-dana yang disediakan untuk pembangunan Islam oleh kerajaan termasuk pembinaan dan pembiayaan masjid, yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan Islam. Malah dana zakat turut mahu diambil.

Sebenarnya isu ketuanan Melayu dan Islam dibangkitkan semula untuk menagih simpati dan sentimen orang bukan Melayu agar tidak lupa menyokong mereka. Mereka mahu pastikan agar penyokong-penyokong parti ultra kiasu ini sentiasa berjaga-jaga dan dikejutkan agar tidak leka. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Singapura yang begitu agresif dengan kempen-kempen dan ingatan kepada rakyat mereka agar sentiasa berhati-hati dengan musuh yang sebenar iaitu negara-negara di sekelilingnya seperti Malaysia dan Indonesia. Parti ultra kiasu faham benar akan taktik ini kerana mereka adalah daripada kumpulan yang sama di sana.

Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa, golongan ultra kiasu ini memang telah berjaya menanamkan pemikiran bangsanya agar menolak ketuanan Melayu dan Islam secara total. Ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan dengan dikaitkan hubungan antara tuan dan hamba.

Sebagai pengkaji politik, saya amat yakin golongan ultra kiasu ini amat faham maksud ketuanan Melayu tersebut bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi saya faham sangat akan maksud ketuanan Melayu secara tersurat dan tersirat. Saya celik sejarah dan tidak memutar-belitkannya demi mencapai cita-cita politik rakus. Saya begitu bersyukur dilahirkan di bumi bertuah ini, begitu juga dengan nenek moyang saya.

Istilah

Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia. Inilah hujah-hujah yang selalu digunakan oleh kumpulan ultra kiasu ini, termasuk segelintir mereka yang berada dalam komponen BN seperti MCA dan Gerakan. Sebenarnya pengikut ultra kiasu ini adalah ramai, mereka tidak bersendirian. Bekas Presiden Gerakan adalah antaranya yang begitu lantang mengkritik ketuanan Melayu ini. Apakah mungkin kita tidak perasan dengan taktik mereka? Pusat mereka berada di Pulau, jangan kita lupa, cukuplah terlepas dua pulau.

Persoalan seterusnya, apakah orang Cina atau India tidak mempunyai semangat ketuanan Cina atau ketuanan India? Janganlah tipu, ia cuma tidak dilaungkan sahaja. Ketuanan mereka itu sudah jelas terpancar ketika mereka mempertahankan hak-hak mereka secara ekstrim yang telah diperolehi. Ketuanan inilah yang menyatukan mereka.

Apakah tuntutan dan desakan yang dikemukakan selama ini tidak melambangkan ketuanan bangsa? Sekurang-kurangnya orang Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu itu berterus-terang, membuka ruang kepada pandangan dan kritikan. Berbeza dengan ultra kiasu, lantang mengkritik, tapi bekerja senyap-senyap, sedar-sedar dah jadi. Mula-mula ditutup-tutup, bila tiba-tiba dibuka, masya-Allah, besarnya patung yang didirikan. Licik sungguh strategi mereka. Umat Islam bila lagi? Takkan asyik berterus-terang. Jika kerja berjalan boleh tahan juga, tetapi cakap banyak, kerja tidak berjalan.

Lihat strategi mereka, ketuanan Melayu dipertikaikan diikuti selepas itu dengan mempersoalkan penggunaan dana kerajaan terhadap perkembangan syiar Islam seperti pembinaan masjid. Persoalan saya, apakah kerajaan negeri dan persekutuan tidak membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam? Jangan asyik menyatakan orang, tanpa mensyukuri toleransi yang berlaku. Inilah belang ultra kiasu yang sebenar, pepat di luar rencong di dalam.

Lihatlah bagaimana bersatunya mereka ketika pembukaan rasmi bangunan Kek Lok Si dan patung Kuan Yin yang begitu besar di negeri ultra kiasu baru-baru ini. Ini tidak termasuk pandangan di Batu Caves. Wajarkah ia dibina dalam sebuah negara Islam sehingga menenggelamkan kedudukan bangsa dan agama Islam sebagai bangsa majoriti dan agama persekutuan? Adakah kebebasan ini diberikan kepada umat Islam di negeri China dan India mahupun Switzerland? Alangkah sedihnya melihat masjid babri yang dimusnah dan diganti dengan kuil Hindu. Tidak ramai orang Islam yang membantah. Inilah sifat yang amat saya puji, walaupun dalam hati amat berat untuk menerima. Sifat sebegini jarang dapat dilihat pada orang lain. Banyak yang telah dapat, tetapi tidak pernah puas itulah ultra. Strategi mereka sekarang, tuntut semaksima mungkin, tak dapat banyak, kerajaan bagi sedikit. Sedikit itu kemenangan besar.

Kalau tidak percaya, tanyalah ketua-ketua parti komponen BN. Adakah selama ini mereka tidak dapat apa yang dituntut. Adakah rumah ibadat mereka tidak dibantu kerajaan? Jangan tanya kepada parti ultra kiasu kerana mereka tidak pernah puas selagi kuasa tidak berada di tangan mereka sepenuhnya. Mereka bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Pernahkah kita bertanya kepada orang Melayu Islam, sakitkah hati mereka melihat patung-patung yang begitu besar dan tinggi, yang terang-terang bercanggah dengan fitrah agamanya atau setiap kali lalu di tempat-tempat tersebut? Kita tidak pernah bertanya bukan? Kita hanya marah dalam hati kerana kita mahu menjaga hati orang lain dan hak bukan Islam.

Pernahkah orang Islam melarang pembinaan patung sebesar itu dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Kalau adapun sedikit sangat. Apakah hak bukan Islam dinafikan walaupun ketuanan Melayu dilaungkan?

Apakah Lee Kuan Yew tidak menegakkan ketuanan Cina di Singapura? Terangkatkah ketuanan Melayu di negeri Melayu Singapura? Orang Melayu tidak mendapat tempat di sana berbanding orang India yang lebih sedikit bilangannya. Kalau dulu Yusuf Ishak boleh menjadi presiden, selepas beliau, nama Melayu sudah tidak muncul lagi. Bila orang Melayu yang mengkritik ketuanan Cina di Singapura, mereka akan dibuang jauh-jauh. Pernahkah kerajaan hari ini membuang kumpulan ultra kiasu ke luar negara walaupun ia amat lantang mengkritik orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu? Saya fikir orang Melayu lebih mempercayai bukan Melayu daripada bukan Melayu mempercayai Melayu.

Orang Melayu (Islam) tidak pernah campurtangan dalam urusan orang bukan Islam, tetapi kenapa dan mengatakan orang bukan Islam begitu kurang ajar mencampuri setiap perkara sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam? Fikirkanlah isu-isu seperti pemelukan agama Islam, murtad, kedudukan mahkamah syariah, kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam perlembagaan dan sebagainya.

Toleransi

Toleransi ini tidak pernah dihargai oleh kumpulan ultra kiasu ini. Tidak pernah puas dan bersyukur. Bila kita tanya toleransi tidak pernah berlaku di negara lain, kenapa tidak menghargai? Maka mereka menjawab, inilah keunikan yang perlu ditonjolkan di Malaysia. Licik juga strategik dan taktik mereka, bila kena pada kita, mereka kata inilah keunikan Malaysia dan semangat 1Malaysia, tetapi bila kena pada mereka, maka jawapannya tidak adil, bukan Melayu dipinggirkan dan didiskriminasikan dan berbagai-bagai tohmahan lagi. Selain daripada kumpulan ultra kiasu ini, mungkin kita boleh melihat pakatan jahat mereka dengan majlis peguam dan persatuan-persatuan agama-agama bukan Islam. Adalah amat tidak logik apabila melihat bilangan rumah ibadat orang bukan Islam yang hanya berjumlah 45 peratus, melebihi berkali ganda bilangan masjid dan surau di dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, yang bilangannya melebihi 55 peratus.

Thursday, December 10, 2009

Semua Rakyat Malaysia Bersifat Perkauman

SEORANG teman bertanya, apa yang tidak mempunyai unsur perkauman di negara ini? Katanya, segalanya berkisar sekitar kaum dan berbaur perkauman.Mujurlah Islam datang ke Malaysia dengan membawa hak dan keadilan tanpa mengira kaum.

Maka Orang Melayu di Malaysia tidaklah terus mengutamakan apa sahaja yang ada pada mereka.Soal bahasa,sekurang-kurangnya orang Melayu Islam tahu 7 ayat dalam bahasa arab iaitu al-Fatihah,tidak termasuk ayat-ayat dalam surah lain dan doa-doa.

Bukankah itu termasuk toleransi bahasa namanya walaupun di dalam hal-hal lain orang Melayu tetap dengan semangat perkauman seperti yang ditunjukkan kaum-kaum lain.

Bermula daripada saat dilahirkan, sampai mati setiap individu di Malaysia sarat dengan jati diri berasaskan kaum.

Itu merupakan realiti yang tidak dapat disangkal. Sejak merdeka hingga sekarang, negara dibina dan dibangunkan bersama dengan unsur ini.

Cuma Malaysia bernasib baik kerana kaum-kaumnya yang berbeza ini mempunyai semangat toleransi yang tinggi.

Mereka sanggup mengetepikan perbezaan kaum, agama dan budaya. Sebaliknya sedia untuk bekerjasama bagi memastikan negara berada di landasan yang betul untuk maju.

Ia diperkuatkan lagi dengan iltizam dan keazaman pemimpin untuk memastikan perbezaan itu tidak digunakan ke arah keburukan tetapi lebih kepada kebaikan hingga menjadi contoh kepada negara lain.

Cuba fikir dan renung sejenak nilai yang terdapat pada setiap individu yang bernama Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan di negara ini.

Apabila dilahir, anak-anak dinamakan mengikut kaum masing-masing. Kaum menjadi identiti mereka bukan negara.

Malaysia tidak seperti Thailand dan Indonesia di mana nama mencerminkan rakyatnya.

Di Indonesia biar Jawa, Minang, Madura atau pendatang Cina dan India, nama mereka hampir sama.

Begitu juga di Thailand, rakyat keturunan Cina yang menguasai ekonomi negara itu namanya mencerminkan dia adalah warga Thailand.

Tetapi di Malaysia perkara itu tidak berlaku. Daripada nama kita sudah tahu kaum seseorang itu. Dan daripada nama kita akan dibezakan mengikut kaum.

Apabila anak sudah besar dan mula memasuki alam prasekolah, ibu bapa akan memilih untuk menghantar anak mereka bagi mendapat pendidikan awal di pusat bimbingan yang berasaskan kaum.

Orang Melayu menghantar ke tadika Melayu atau Islam. Cina dan India pula ke tadika yang menggunakan bahasa ibunda mereka. Keputusan yang dibuat ini ada unsur perkauman. Mungkin tidak ada prasangka, tetapi pertimbangan perkauman tetap ada.

Begitu juga apabila tiba untuk masuk ke alam persekolahan yang sebenar. Masing-masing memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah berasaskan kaum masing-masing.

Sebab itu di Malaysia ada sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah mubaligh kristian.

Atas dasar apa semua sekolah ini wujud kalau tidak atas dasar perkauman?

Begitu juga dalam kehidupan seharian. Setiap kaum dibezakan dengan nilai dan identiti kaum masing-masing.

Yang menariknya perbezaan itu tidak pernah digunakan untuk mencetuskan sengketa yang merugikan semua.

Cuma apabila ada pemimpin yang mula mengungkit isu-isu berhubung kaum lain, ia menimbulkan sedikit ketegangan.

Di Malaysia semua pihak berjuang untuk mempertahankan hak dan kepentingan kaum masing-masing. Tetapi jangan sampai ke tahap menyinggung perasaan kaum lain.

Apabila ada pemimpin yang menggunakan isu berkaitan kaum ini untuk kepentingan politik mereka maka sudah tentu perbezaan sedia ada akan menjadi besar dan ketara.

Pemimpin politik yang menuduh lawannya bersikap perkauman dan mengungkit isu sensitif, sebenarnya dalam dirinya sendiri sarat dengan perkauman.

Mempersoalkan ketuanan Melayu misalnya merupakan satu sikap perkauman yang bertujuan menimbulkan kebencian.

Soal ini mungkin tidak termaktub dalam Perlembagaan. Kerana yang ada ialah hak istimewa orang Melayu.

Tetapi setiap rakyat tanpa mengira kaum sejak merdeka dulu faham, ia bukan bermaksud Melayu menjadi tuan kepada kaum lain dan kaum lain menjadi hamba kepada Melayu.

Ia telah diperjelaskan berkali-kali, namun tetap ada pihak yang mempertikaikan, kenapa? Kalau kaum lain menjadi hamba kepada Melayu, kenapa majoriti golongan profesional di negara ini seperti doktor, peguam, jurutera dan arkitek terdiri daripada bukan Melayu?

Kenapa ahli perniagaan yang kaya raya dapat memiliki satelit dan membina bangunan pencakar langit bukan orang Melayu?

Sebab itu apabila ada pemimpin menuduh lawan mereka mengamalkan perkauman, hingga membangkitkan hal-hal sensitif, sebenarnya merekalah yang bersikap demikian.

Ia ibarat periuk mengatakan kuali hitam.

Memang dalam politik negara ini ia tidak terlepas daripada elemen perkauman. Setiap kaum berkumpul membentuk parti politik yang mewakili kaum mereka dan kemudian bergabung membentuk parti yang lebih besar dan menubuhkan kerajaan.

Kewujudan parti-parti lain yang didakwa mewakili semua kaum juga sebenarnya sarat dengan agenda perkauman.

DAP misalnya, walaupun ia mendakwa mewakili semua kaum, tetapi sebenarnya ia lebih banyak memperjuangkan hal yang berkaitan dengan kaum Cina.

Sebab itu sepanjang penubuhannya parti itu pemimpin tertingginya mesti dari kalangan kaum Cina.

Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi peneraju pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan?

Walaupun ia dilihat mempunyai kombinasi daripada pelbagai kaum namun ia masih bergerak atas platform perkauman. Pemimpin yang berasal dari kaum tertentu lebih cenderung memperjuangkan nasib kaum mereka sahaja.

Perkara itu boleh dilihat kepada insiden-insiden yang berlaku di Parlimen. Apabila ia membabitkan kepentingan kaum tertentu ia akan dibawa dan diseret hingga ke Parlimen.

Mengapa Ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming mempersoalkan hal pembinaan masjid jika ia tidak mempunyai unsur perkauman?

Tidakkah beliau sedar bahawa struktur rumah ibadat yang terbesar di Pulau Pinang atau mungkin juga di Malaysia bukannya masjid?

Begitu juga di kawasan Gombak, rumah ibadat yang terbesar ialah kuil Hindu di Batu Cave, bukannya masjid. Tetapi ia tidak pernah dibangkit dan diungkit oleh orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Kenapa apabila yang berkaitan dengan masjid dibangkitkan sebegitu rupa di Parlimen? Untuk tujuan apa?

Realiti bahawa negara kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum perlu diterima. Maknanya elemen perkauman pasti ada. Cuma ia perlu diuruskan secara bijak oleh para pemimpin dari semua peringkat tanpa mengira parti.

Jangan menggunakan unsur-unsur perkauman ini untuk kepentingan politik sempit semata-mata. Akibatnya cukup buruk.

Jika selama 50 tahun ini kita boleh bertolak ansur dengan perbezaan yang ada. Boleh tinggal, hidup dan mengecapi kemakmuran bersama, maka ia sepatutnya dikekalkan sampai bila-bila.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia