SELAMAT DATANG,AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM...TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG WILAYAH SELATAN,MOGA SEGALA MAKLUMAT DAN MAKLUMAN YANG ADA INI SERBA SEDIKIT DAPAT MEMBANTU ANDA SECARA TIDAK LANGSUNG...SELAMAT MELAYARI...

Thursday, February 18, 2010

Ekspedisi Kg Mat Daling Jerantut Pahang


Peluang untuk menyertai rombongan menghantar pengantin ke kawasan Taman Negara pada 12 Februari 2010 tidak mudah penulis lepaskan.Bukan apa,susah untuk kita menjejakkan kaki di kawasan hulu seperti itu, lebih-lebih lagi dengan pengangkutan yang terhad kepada bot atau perahu panjang dan trak pacuan 4 roda.Sebelum ini gambaran Taman Negara hanya boleh dilihat di televisyen atau majalah dan untuk ke sana memerlukan pengorbanan yang amat besar dari segi wang ringgit, masa dan tenaga. Penulis biasa menonton dan melihat di majalah tentang kegahairahan pelancong asing dan tempatan untuk ke Taman Negara, terdetik juga di hati untuk merasai pengalaman menaiki bot panjang, meredah sungai, mandi manda, menangkap ikan dan berkhemah di tepi sungai.
Penulis dan ahli keluarga bertolak pada hari Jumaat jam 11 malam 12 Februari 2010 menaiki bas yang ditaja oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia.Perjalanan malam itu tidaklah memenatkan dan hanya mengambil masa 4 jam melalui Lebuhraya Karak dan keluar melalui susur Jerantut/Temerloh. Selepas itu kami melalui jalan negeri yang melintasi beberapa kampung dan pekan kecil sebelum sampai ke Pekan Jerantut jam 3.30 pagi. Pemandu bas (ayah mertua penulis) mencadangkan kami berhenti rehat dulu di Masjid Jerantut sementara menggu pagi dan memudahkan kami mandi serta terus menunaikan solat subuh. Menurutnya, adalah lebih baik berehat dahulu dan bersarapan di pekan ini kerana di jeti Kuala Tahan sukar untuk mencari tempat mandi dan sarapan kerana terlalu awal pagi. Cara ini biasa dilakukan oleh mana-mana pengunjung Taman Negara kerana kos makanan lebih murah dan mudah didapati. Mungkin juga pengunjung boleh mendapatkan bekalan perkhemahan atau pengembaraan di pekan ini.
Selepas sarapan di restoran mamak bersebelahan deretan kedai batu, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Tahan, tempoh perjalanan kami lebih kurang 1 jam. Apa yang penulis pernah kaji, sebelum wujudnya jalan ke Jeti Kuala Tahan, pengunjung Taman Negara perlu menaiki bot selama 2/3 jam melalui sungai bermula di Kuala Tembeling. Syukur, kerana perjalanan dipermudahkan dengan adanya jalan yang merentasi pinggir hutan, ladang dan kebun untuk sampai ke jeti Kuala Tahan.
Penulis dan rombongan sampai ke jeti jam 8.45 pagi dan pada masa itu, jeti telah mulai sibuk dengan pengunjung yang sampai seawal pagi.Mungkin mereka telah berehat di situ dan bersarapan di restoran terapung pinggir sungai. Terdapat 4 restoran seperti itu dan ia kelihatan menarik dan mengujakan para pengunjung dengan suasana tempat makan di atas sungai. Perlu diingat, harga makanan dan minuman di situ berbeza.
Apa yang diberitahu oleh ayah mertua penulis tentang kemudahan tempat mandi dan tandas yang kurang selesa di jeti Kuala Tahan memang tepat. Kami hanya melepaskan hajat kerana memikirkan perjalanan bot yang mengambil masa 4 jam, tetapi untuk mandi di situ bagi yang tak sempat mandi, adalah lebih baik dilupakan. Langsung tak berbaloi dengan bayaran 50 sen seorang, malu rasanya dengan pelancong asing. Pada anggapan penulis, mungkin penjaga tandas belum sampai dan tak sempat mencuci tandas.
Kami menaiki bot yang dihantar oleh bapa pengantin perempuan pada jam 11.30 pagi. Bot tersebut boleh memuatkan seramai 20 orang dengan setiap 3/2 orang disediakan tilam kulit sebagai lapik tempat duduk dan penyandar.Jika difikirkan keselesaan, tempoh 4 jam menaiki bot adalah satu yang memenatkan, tetapi selepas bot meluncur sungai dan jeram, terasa seronok dan tenang melihat hutan khatulistiwa Taman Negara yang masih terpelihara. Sesekali kami ternampak pengunjung yang memancing ikan dan berkhemah di pinggir sungai, mungkin itulah percutian yang murah dan mudah berbanding menginap di resort dan chalet yang harganya RM100 hingga RM300 sebuah, belum lagi ditambah dengan upah bot RM25 seorang.
Terdapat banyak kampung orang asli di kiri dan kanan sungai, kebanyakan rumah mereka dibuat dari buluh, rotan dan daun-daun hutan. Tetapi kami tidak menyangka kerana terdapat beberapa kampung orang melayu di situ seperti Kg Sg pagi, Kg Bantal dan kg Mat Daling.Semuanya dilengkapi sekolah, klinik, kedai, dewan, bekalan air dan elektrik.Tentang talian telefon tetap, elok dilupakan kerana hanya pengguna talian Maxis sahaja yang mampu menggunakan telefon mereka. Penulis yakin, perjalanan kami yang pada awalnya untuk menghantar pengantin hilang sebentar dari ingatan kerana teruja melihat keindahan Taman Negara,lebih-lebih lagi melihat kaki pancing dan khemah mandi di sungai yang jernih dan hanya sedalam peha dewasa sahaja.
Penulis kagum dengan kepakaran pemandu bot melalui celah-celah batu jeram dan sedikit pun batu tersebut tidak mengenai bot panjang kami. Pastilah kami yang berasa gerun dengan cabaran seperti itu. Selepas 3 jam perjalanan. bot kami tersangkut sebanyak 2 kali di pasir sungai yang sukar diagak kedudukannya, kerana kadang-kadang ia berlonggok di tepi sungai banyak juga berlonggok ti tengah sungai. Apa lagi,kami terpaksa menolak bot tersebut hingga ke tempat yang agak dalam.Penat langsung tak terasa kerana dikuasai perasaan seronok dan gembira.

No comments: